16 Oktober 2016 - 14:53
Washington Gunakan 'Rusia' Untuk Alih Perhatian Pengundi Daripada Isu Sebenar - Putin

Rusia tidak akan cuba untuk mempengaruhi pilihan raya presiden A.S. "Saya mahu setiap pihak supaya bertenang... kami tidak merancang untuk mempengaruhi hala tuju pilihan raya presiden A.S," kata Presiden Persekutuan Rusia itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Rusia, Valdimir Putin mengadakan sidang akhbar di Goa ketika menghadiri persidangan BRICS pada 16 Oktober 2016. Menurut beliau, Rusia tidak akan cuba untuk mempengaruhi pilihan raya presiden A.S. "Saya mahu setiap pihak supaya bertenang... kami tidak merancang untuk mempengaruhi hala tuju pilihan raya presiden A.S," kata Presiden Persekutuan Rusia itu.

Apabila ditanya tentang calon-calon presiden, Putin berkata bahawa Clinton telah memilih untuk mengambil langkah yang agresif yang disertai dengan retorik terhadap Rusia manakala Trump pula memanggil (Rusia) untuk bekerjasama di dalam usaha membasmi keganasan.

"Kami tidak tahu apa yang akan terjadi selepas pilihan raya tersebut," kata beliau lagi. "Kami tidak tahu sama ada Donald Trump akan menunaikan niatnya atau tidak dan sejuah mana pula beliau akan bekerjasama dengan kami... atau benarkah Hillary Clinton akan mempraktikkan ancaman-ancaman dan retoriknya terhadap Rusia? Mungkin sahaja beliau akan memperlahankan rentaknya. Pokoknya kami sedia bekerjasama dengan sesiapapun yang mahu bekerja dengan kami," tambah beliau. Menurut Putin, Rusia tidak berminat untuk berkonfrontasi dengan A.S.

Pada 15 Oktober semalam, Timbalan Presiden A.S, Joe Biden berkata bahawa Washington mahu memberikan tindak balas terhadap apa yang mereka dakwa sebagai serangan siber yang dilancarkan oleh Rusia terhadap negara polis dunia itu.

Ini adalah kali yang pertama pegawai A.S mengancam untuk melancarkan serangan siber terhadap negara lain pada skala yang tinggi sekaligus mengakui bahawa mereka sememangnya mengintip musuh dan juga sekutu mereka sendiri.

"Seseorang boleh menjangkakan macam-macam perkara daripada A.S memandangkan mereka menghabiskan berbilion dollar di dalam pengintipan," kata Putin.